Umat Islam di Malaysia sudah lama dilanda dengan berbagai pandangan berkenaan isu ketuanan Melayu dari golongan para politik, khususnya yang sendiri mengaku diri mereka sebagai menganuti agama Islam.
Saya sendiri merujuk serta memegang kepada khutbah terakhir Baginda Nabi SAW di Arafah yang telah bersabda, antara lain, bahawa semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada Arab yang lebih mulia dari yang bukan Arab atau bukan Arab yang lebih mulia dari Arab, juga tidak ada yang putih lebih mulia dari yang kulit hitam atau yang hitam lebih mulia dari yang putih.
Bukankah ini menggambarkan dengan jelas bahawa tiada ruang langsung disisi Islam untuk sebarang pegangan ketuanan mana2 puak berasaskan keturunan atau perkauman?
Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dilaporkan di agensi berita BERNAMA pada 18hb November, 2008, berkata tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.
“Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab. Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu… kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allahdan menjalankan tanggungjawab kita” – Tok Guru Nik Aziz.
Kenyataan Tok Guru Nik Aziz seperti dirujuk di atas, pada pendapat saya, dengan begitu
jelas menggambarkan pendirian Tok Guru bahawa konsep ketuanan Melayu serta Bumiputra / bukan Bumiputra adalah bercanggah dengan Islam.
Apakah ini benar, dan jika ya, bukankah ini bermaksud konsep ketuanan Melayu dan Bumiputra / bukan Bumiputra adalah haram disisi Islam?
Memandangkan terdapat pihak-pihak tertentu yang sering bertepuk dada sambil bersorak akan membela ketuanan Melayu sambil memberi amaran supaya konsep Bumiputra / bukan Bumiputra jangan sekali-kali dipersoalkan oleh mana-mana pihak, saya memohon kepada pihak tuan supaya memberikan tumpuan kepada perkara ini yang semestinya mengelirukan ummat Islam di Malaysia dan dengan seberapa segera yang boleh, keluarkan satu fatwa untuk menjelaskan perkara ini.
Reisha Thomas
October 24, 2019
So refreshing. Thanks for sharing.